Tuesday 8 November 2011

Ahli Pandu Puteri Tunas
Pandu Puteri Tunas dianggotai oleh kanak-kanak perempuan yang berusia 7 hingga 12 tahun. Bagi ahli baru, mereka akan menjalani latihan berdasarkan Program Pra-Persetiaan sebelum menyertai Pek Pandu Puteri Tunas. Setelah lulus ujian Pra-persetiaan ini, mereka dilantik menjadi seorang Pandu Puteri Tunas dalam istiadat perlantikan. Untuk mencapai kecemerlangan yang lebih, mereka dilatih dan diuji melalui Program Calit Emas, Tangga Emas, di samping mengambil ujian Lencana Kecekapan yang digemari.

Pandu Puteri Tunas mestilah sentiasa berpegang teguh dengan ikrar yang dilafaz. Ikrar ini menunjukkan bahawa seorang Pandu Puteri Tunas itu sentiasa bersopan santun dan mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan. Ikrar Pandu Puteri Tunas berbunyi begini:

“Dengan sesungguhnya saya berjanji dan bersetia akan menjalankan kewajipan saya kepada Tuhan, Raja dan Negara saya, Malaysia, Menolong orang setiap hari terutamanya mereka di rumah dan mematuhi undang- undang Pandu Puteri Tunas.”
Undang-Undang Pandu Puteri Tunas
Pandu Puteri Tunas mempunyai undang-undang yang mesti dipatuhi oleh ahli-ahlinya. Terdapat dua undang-undang Pandu Puteri Tunas iaitu:
Pandu Puteri Tunas selalu menurut ajaran orang yang tertua daripadanya.
Pandu Puteri Tunas tidak menurut kehendak hati sahaja.
Cogan Kata Pandu Puteri Tunas
Cogan kata Pandu Puteri Tunas adalah 'Tolong Orang Selalu' (TOS). Cogan kata ini diucap setiap kali Pandu Puteri Tunas selesai membuat Istiadat Lingkungan Pandu Puteri Tunas dan Istiadat Hormat Besar.
Kumpulan Pandu Puteri Tunas
Nama kumpulan Pandu Puteri Tunas adalah terdiri daripada nama-nama bunga, seperti Melur, Siantan, Teratai, Kesidang, Cempaka dan Kenanga.

No comments:

Post a Comment